Jawatankuasa Eksekutif FAM bakal tentukan presiden baru


Susulan peletakan jawatan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), timbul persoalan mengenai siapakah yang akan memangku jawatan tertinggi badan induk itu?

Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif FAM dalam masa terdekat.

Apapun, Yusoff mengakui semua barisan exco berasa kehilangan Tunku Ismail selaku presiden FAM, namun menerima keputusan itu dengan hati terbuka memandangkan baginda masih berkhidmat untuk bola sepak tanah air sebagai pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Kami agak terperanjat dengan keputusan ini tetapi ia telah muktamad dan penyerahan surat peletakan jawatan telah dilakukan secara rasmi.

"Pihak sekretariat FAM akan memanggil barisan exco untuk mengadakan mesyuarat secepat mungkin untuk membincangkan isu ini," kata Yusoff.

Naib Presiden FAM, Joehari Ayub, turut meluahkan: "Jika Tunku Ismail memegang jawatan pengerusi dalam liga, saya yakin satu hari nanti akan nampak hasilnya kepada pasukan negara kita."

Dalam masa yang sama, ahli gabungan FAM, antaranya Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, turut memberi reaksi terhadap peletakan jawatan Tunku Ismail.

"Peletakan jawatan itu harus diterima dengan hati yang terbuka memandangkan beliau telah berusaha sebaik mungkin tetapi tidak dihargai," ujarnya.

Tambah Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Nokman Mustaffa: "Lebih baik beliau memegang jawatan pengerusi MFL dan juga presiden FAM kerana jika terdapat sebarang perkara, beliau akan tahu. Kita tidak tahu apa akan jadi selepas ini, jadi hanya perlu tunggu."

Bagi Setiausaha PKNS FC, Adi Harmizi, mereka harus akur dengan keputusan drastik itu sambil menganggap pengaruh Tunku Ismail akan terus memacu bola sepak negara.

"Tunku Ismail mempunyai sebab-sebab tertentu untuk membuat keputusan itu.

"Saya berfikir secara positif bahawa Tunku akan lebih menumpukan perhatian kepada perkembangan Liga Malaysia," katanya.

Sementara itu, jenama Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) turut diubah kepada MFL.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, menganggap ia bukan sekadar pertukaran nama tetapi demi perancangan jangka panjang.

"Kami melihat kebebasan ini sebagai satu perkara yang mungkin memberi lebih kestabilan kepada nilai komersial kami," katanya.

Dalam entri Facebook terbaru FAM, Tunku Ismail menyarankan Yusoff dilantik sebagai pemangku presiden FAM sehingga kongres ke-64 FAM pada 14 Julai depan selain Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd Amin, yang telah sekian lama berkhidmat untuk bola sepak tanah air.

Sumber >> www.stadiumastro.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==