Bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd Sharbinee Allawee, bakal membuat penampilan semula dengan menyertai pasukan Liga FAM, Hanelang FC.
Perkara itu disahkan pengendali pasukan itu, Ahmad Yusof, yang melahirkan kesediaan untuk kembali bekerjasama dengan Sharbinee.
Begitupun, Ahmad berkata sebarang keputusan muktamad bergantung kepada laporan kesihatan dari pasukan perubatan sebelum mendaftarkan pemain berusia 31 tahun itu.
Februari tahun lalu, Sharbinee terpaksa diketepikan Terengganu selepas dikesan mengalami kanser paru-paru dan terpaksa menjalani kemoterapi.
“Selaku penjaga gol berkualiti, khidmat Sharbinee sentiasa diperlukan. Semua tahu kredibilitinya malah dia juga sudah biasa dengan saya.
“Tetapi, kami perlu menunggu laporan kesihatan bagi mengesahkan tahap kecergasan sebelum mendaftarkan Sharbinee pada jendela perpindahan, Mei ini,” ujar Ahmad.
Usaha Sharbinee untuk kembali beraksi dilihat membuahkan hasil apabila mula menjalani latihan bersama skuad utama Terengganu FC (TFC).
Ahmad – bekas jurulatih Terengganu pada 2016 – turut mengesahkan Sharbinee akan mula menyertai rakan-sepasukan baharu dalam masa terdekat.
“Sekiranya semua berjalan lancar, dia (Sharbinee) akan mula bersama rakan-sepasukan baru dalam masa terdekat,” katanya yang ditemui selepas aksi pemanas badan Hanelang dan TFC II, kelmarin.
Hanelang tumpas 1-4 dengan Hasmizan Kamaruddin menjaringkan gol saguhati manakala TFC II dibantu dua jaringan Akanni Sunday Wasiu, Bruno Suzuki dan Amirul Syahmi Ashari.
Sumber >> www.stadiumastro.com