Syahmi mahu tembusi skuad utama Felda


Pemain skuad B-18 negara, Muhammad Syahmi Zamri, bertekad untuk menggunakan pengalaman yang diraih bersama barisan muda negara dalam saingan Piala Sanix baru-baru ini untuk merebut tempat dalam skuad utama Felda United, musim ini.

Potensi yang dipamerkan penyerang muda itu telah menyuntik keyakinan pengendali Felda, B. Sathianathan, untuk memanggilnya berlatih bersama skuad utama sebelum ke Fukuoka, Jepun bersama skuad B-18 kebangsaan bagi menghadapi saingan Piala Sanix yang berakhir minggu lalu.

Bekas pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu sebelum ini didaftarkan bersama skuad Piala Presiden Felda bagi musim 2018.

"Saya bukan sahaja perlu beraksi bagus buat pasukan negara tetapi Felda United juga adalah tanggungjawab saya dalam meraih kepercayaan B. Sathianathan.

"Bojan Hodak banyak memberi tunjuk ajar kepada saya untuk meningkat kualiti permainan. Saya akan cuba terjemahkan segala pengalaman yang diraih bersama Felda," kata Syahmi.

Bagi Syahmi, berada dalam skuad B-18 tahun negara ketika aksi Piala Sanix banyak membantu dirinya untuk membentuk keyakinan dan walaupun selesa beraksi sebagai pemain tengah, dia berhasrat untuk mengetuai jentera serangan skuad The Fighters.

Dia juga menjelaskan kapten Felda, Shukor Adan, serta beberapa tonggak lain turut sentiasa memberi dorongan buatnya untuk terus meningkatkan mutu permainan.

"Shukor dan Farizal Harun (penjaga gol) adalah antara individu yang banyak mengajar saya, begitu juga dengan awang import seperti Thiago Junior dan Thiago Augusto.

"Mereka membantu daripada segi penyudah dan kawalan bola," ujarnya lagi.

Sumber >> www.stadiumastro.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==