Tiada slot istimewa buat Nazmi, Syafiq


Tiada sebarang jaminan daripada ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, terhadap dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Nazmi Faiz Mansor dan Syafiq Ahmad, untuk mengisi mana-mana slot utama selepas kembali ke pangkuan skuad Harimau Malaya, hari ini.

Selepas kontroversi kehilangan 14 pemain JDT sebaik selesai aksi persahabatan dengan Mongolia, Khamis lalu, Nazmi dan Syafiq kembali bersama skuad negara sehari kemudian.

Bagaimanapun, itu bukan jaminan untuk Cheng Hoe membuka ruang mudah kepada kedua-dua pemain terbabit untuk mengisi kedudukan utama skuad negara menjelang pertemuan dengan Lubnan dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019, Selasa ini.

"Setakat ini, saya rasa hanya Syafiq Ahmad dan Nazmi Faiz Mansor kembali melaporkan diri kepada kami kerana saya perlu melihat mereka dalam dua atau tiga perlawanan lagi.

"Sebelum ini, mereka hanya beraksi selama 15 atau 20 minit," kata Cheng Hoe.

Kedua-dua pemain itu dilihat menjalani persiapan akhir bersama pasukan sebelum ke Beirut, semalam.

Seramai 23 pemain berada dalam senarai akhir skuad negara ke Beirut selepas dua nama, iaitu Kiko Insa dan Rawilson Batuil, disisihkan.

"Fokus utama kami ketika bertemu Lubnan tetap dipandang serius walaupun sudah terkeluar daripada Piala Asia.

"Saya mengharapkan satu keputusan yang baik serta sokongan daripada penyokong bola sepak Malaysia," katanya.

Sekembali dari Lubnan, Malaysia bakal berhadapan satu lagi perlawanan persahabatan dengan Bhutan berikutan jadual asal bertemu Nepal pada 1 April dibatalkan.

Sementara itu, pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri, melahirkan kebimbangan melihat situasi semasa yang melanda skuad negara ketika ini.

Secara jelas, isu sebegini mampu membunuh semangat pemain untuk mewakili negara selain melihat masa depan skuad negara makin kabur dalam misi untuk tampil lebih maju.

Kontroversi yang melanda skuad negara secara jelas memberi gambaran persediaan barisan Cheng Hoe yang kucar-kacir selain meragui misi negara pada masa depan.

"15 tahun lalu, semua pemain berebut-rebut untuk mendapatkan tempat dalam pasukan kerana satu kerugian jika tidak dapat menyertai skuad kebangsaan.

"Tetapi, sekarang saya bimbang melihat pemain-pemain takut untuk mewakili negara kerana terpaksa berdepan tekanan yang luar biasa.

"Saya tidak pasti apa yang dimahukan oleh pihak pengurusan dan apa yang perlu dilakukan kerana gambarannya tidak begitu jelas.

"Kita masih tercari-cari hala tuju," kata bekas pemain negara itu.

Sumber >> www.stadiumastro.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==