Pasukan komuniti, sosial akhirnya sertai Liga Malaysia


Hasrat 14 penganjur liga komuniti dan sosial dari beberapa negeri untuk melihat pemain bola sepak amatur mereka bersaing di peringkat lebih tinggi akhirnya menjadi kenyataan.

Kejayaan itu diraih selepas kesemua pasukan yang terlibat menandatangani  perjanjian dengan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) hari ini untuk menyertai Divisyen 5 (M5)  Liga Malaysia musim 2018.

Ia bermakna M5 kini disertai 194 pasukan daripada 14 liga yang akan bersaing dalam liga masing-masing untuk muncul juara dan naib juara.

Selepas kempen liga tersebut, juara dan naib juara setiap liga berkenaan akan bersaing dalam Divisyen 4 yang bakal bermula tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, menjelaskan langkah itu sebenarnya bermatlamat mencorak piramid bola sepak Malaysia yang lebih dinamik dengan menyerapkan pemain bola sepak liga komuniti dan sosial berkenaan dalam arena bola sepak tanah air.

“Berbanding membentuk M4 menerusi jemputan, lebih baik struktur M4 terbentuk hasil penyertaan juara setiap liga dalam M5. Ini sejajar dengan hasrat Pengerusi FMLLP, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang mahukan bola sepak komuniti menjadi sebahagian daripada piramid bola sepak Malaysia.

“Tambahan pula, baginda berasakan bola sepak Malaysia (sedia ada) selalunya eksklusif berbanding inklusif dan di bawah kepimpinannya, baginda mahu menjadikan bola sepak inklusif. Bermakna bola sepak untuk semua. Bukan hanya untuk segelintir golongan elit,” katanya selepas majlis perjanjian itu.

Kevin menambah segala langkah dilaksanakan itu turut diharapkan dapat melahirkan lebih 10,000 pemain bola sepak aktif yang mungkin boleh digilap lagi bakat bagi menjadi pelapis kepada pemain profesional pada masa kini.

“Ini langkah besar ke hadapan untuk tempoh 10 tahun akan datang dan bila piramid ini ditunjukkan kepada beberapa pakar teknikal dalam bola sepak, mereka pasti mengatakan ia sesuatu yang boleh dibanggakan," katanya.

Sumber >> www.stadiumastro.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==