Griezmann bedil kubu Arsenal


Arsene Wenger tidak akan menyalahkan individu selepas pertahanan Arsenal mengalami mimpi buruk yang membenarkan Atletico Madrid merakamkan keputusan seri 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama Liga Europa, awal pagi tadi.

Arsenal mengetuai permainan menerusi tandukan Alexandre Lacazette untuk menggamatkan Stadium Emirates sebelum pelawat yang beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-10 ekoran kad kuning kedua yang diterima Sime Vrsaljko sambil jurulatih, Diego Simeone, turut diarah ke tempat duduk penonton.

Begitupun, penjaga gol, Jan Oblak, cemerlang di depan gawang sebelum mereka berhasil menyumbat gol lewat permainan hasil sentuhan berbisa Antoine Griezmann.

Pertahanan Arsenal jelas kucar-kacir ketika membenarkan Atletico membawa pulang bekalan gol di tempat lawan selepas Danny Welbeck berada di kedudukan tidak tepat sementara Laurent Koscielny pula terjatuh ketika diberi tekanan oleh Griezmann.

Shkodran Mustafi pula menambah kekalutan itu dengan tergelincir ketika cuba menyekat penggempur Perancis berkenaan biarpun David Ospina terlebih dahulu menyekat percubaan awalnya.

'Ia bukannya tentang menyalahkan individu," kata Wenger dalam sidang akhbar selepas perlawanan. "Keseluruhan pasukan kecewa dan meratap. Kami perlu membina keinginan dan keyakinan untuk bertandang ke sana dan layak.

"Sebaik sahaja mereka kehilangan seorang pemain, ia menjejaskan rentak permainan, kami tidak mendapat untung. Satu-satunya kelebihan daripada hasil itu ialah kami tahu apa yang perlu dilakukan.

"Saya berasakan kami telah menghasilkan prestasi yang kami hajati, namun tidak seiring dengan persembahan. Sejurus 1-0 di depan, tugasan kami menjadi jelas agar tidak terperangkap dengan hantaran jauh.

"Satu-satunya peluang yang mereka ada ialah menerusi hantaran jauh. Agak malang kami dibolosi tatkala Welbeck dikasari tetapi kami hanya boleh melihat diri sendiri malam ini," tambahnya.

Ini merupakan perlawanan terakhir Wenger dalam saingan Eropah di Stadium Emirates yang padat dan ia sesuatu yang mengujakan pengurus Perancis itu di sebalik keputusan yang dicatat anak buahnya.

"Peminat kami hebat, itulah yang anda mahukan," tambah Wenger. "Kami mencipta klimaks dengan menghasilkan jaringan."

Santi Cazorla menghangatkan padang sebelum sepak mula yang menyaksikan pemain tengah Sepanyol itu cuba kembali selepas dibelenggu kecederaan achilles sejak 18 bulan lalu yang menyaksikannya hampir kehilangan kaki akibat jangkitan.

"Dia dalam keadaan baik tetapi memerlukan persiapan penuh untuk cuba kembali," kata Wenger.

"Adakah dia akan kekal di Arsenal? Saya tidak tahu."

Sumber >> www.stadiumastro.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==