SALZBURG 4 LAZIO 1
Tiga gol dalam masa lima minit di babak kedua membolehkan Salzburg memadam defisit dua gol yang dimiliki Lazio untuk menang 4-1 di Red Bull Arena, sekaligus melangkah ke separuh akhir Liga Europa, awal pagi tadi.
Salzburg tewas 4-2 dalam aksi suku akhir pertama di tempat lawan pada minggu lalu dan keputusan itu tampak sukar diubah apabila kedua-dua pasukan mempamerkan aksi berhati-hati di sepanjang babak pertama suku akhir kedua.
Lebih memeritkan, skuad kendalian Marco Rose dikejutkan dengan gol pembukaan penyerang utama Lazio, Ciro Immobile, yang menjadikan kedudukan agregat 5-2.
Bagaimanapun, kebangkitan Salzburg bermula seminit kemudian apabila penyerang dari Israel, Munas Dabbur, melepaskan rembatan kaki kiri untuk mengikat kedudukan 1-1.
Rembatan kencang dari luar kotak penalti oleh Amadou Haidara gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Thomas Strakosha, pada minit ke-71 untuk meletakkan tuan rumah di depan 2-1, sebelum Hwang Hee Chan dan Stefan Lainer memberikan kelegaan buat Salzburg dengan gol ketiga dan keempat.
Hee Chan bijak memperdayakan pertahanan Lazio sebelum menyungkit bola melepas kawalan Strakosha pada minit ke-73 sementara Lainer menyempurnakan bola sepakan sudut Andre Ramalho Silva menerusi tandukan, dua minit kemudian.
Kedudukan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan, sekaligus memberikan tiket ke separuh akhir buat Salzburg menerusi kemenangan 6-3 secara agregat.
Sumber >> www.sadiumastro.com