TFC, Kedah kongsi mata


Hasrat Terengganu FC (TFC) untuk meraih kemenangan di tempat sendiri tidak kesampaian selepas seri 1-1 dengan Kedah dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Tuan rumah bermula garang sebaik wisel dibunyikan dengan peluang minit pertama apabila hantaran Lee Andrew Tuck disambar Bruno Junichi Suzuki di dalam kotak penalti, namun tepat ke dakapan penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim.

Hanya seminit selepas itu, giliran Kedah menguji kubu TFC hasil sepakan percuma Baddrol Bakhtiar yang ditepis Mohd Suffian Rahman untuk memberikan sepakan penjuru kepada pelawat.

Mohd Suffian sekali lagi menyelamatkan TFC pada minit ke-32 dengan menangkap kemas rembatan kencang Abdul Halim Saari, sekali gus melegakan ribuan penyokong tuan rumah.

TFC kemudian hampir memecahkan kebuntuan, malangnya ledakan kaki kiri pemain sayap, J. Partiban, tinggi melepasi sasaran pada minit ke-42.

Partiban begitupun tidak mensia-siakan umpanan Bruno seminit kemudian selepas tenang menewaskan Mohd Ifwat untuk membawa kelebihan satu gol kepada TFC ke bilik persalinan.

Kedah memperkemaskan rentak sejurus selepas memulakan separuh masa kedua dengan menyaksikan percubaan deras Baddrol dari luar kotak penalti diselamatkan penjaga gol tuan rumah pada minit ke-47.

Kesabaran skuad kendalian Mohd Nidzam Adzha akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-62 selepas Baddrol menolak masuk hantaran leret Sandro da Silva Mendonca dari sebelah kiri untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Beraksi tanpa kelibat tonggak utama akibat kecederaan, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu dikecewakan ketumpulan jentera serangan diketuai Akanni Sunday Wasiu manakala Kedah terus mengasak memburu gol kemenangan.

Tiada tambahan jaringan menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri.

TFC kini mengumpul 12 mata di tangga kedua manakala Kedah (10 mata) di tangga keenam selepas tujuh perlawanan.

Sumber >> www.stadiumastro.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==