Abdul Azim terkejut tapi berminat jawatan presiden FAM


Sehari sebelum tarikh akhir pencalonan bagi jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) esok, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) membuat kejutan apabila mengemukakan pencalonan Datuk Seri Abdul Azim Zabidi yang juga timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk merebut kerusi panas itu.

Pencalonan itu diumumkan PBNP menerusi satu kenyataan media hari ini.

Faktor utama PBNP mencalonkan Abdul Azim untuk menjadi presiden FAM yang baru ialah atas pengalaman luas beliau selaku pengerusi Institut Sukan Negara (ISN).

PBNP yakin kepimpinan Abdul Azim akan membantu badan induk itu dalam mencapai matlamat ke arah kegemilangan bola sepak negara seperti yang disasarkan.

Sementara itu, Abdul Azim yang memenangi jawatan timbalan presiden MOM dengan kelebihan 11 undi baru-baru ini, mengakui terkejut dengan pencalonannya selaku presiden FAM.

"Saya pun tidak sangka kerana tidak tahu-menahu.

"Saya akan menghubungi PBNP terlebih dahulu dan akan mengadakan sidang akhir sekiranya ada perkembangan lanjut esok.

"Ia dalam lingkungan bidang yang saya minati," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam perkembangan sama, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) adalah antara ahli gabungan yang setakat ini masih belum menamakan calon mereka untuk kerusi tertinggi FAM itu.

Difahamkan, persatuan itu kini dalam pertimbangan untuk mencalonkan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra, dalam Kongres Pemilihan FAM Ke-54, 14 Julai depan.

Namun, Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, ketika dihubungi enggan mengesahkan perkara itu, sebaliknya menegaskan sebarang keputusan akan dibuat esok.

"Pencalonan presiden FAM akan ditutup pada jam 5 petang esok. Kami masih belum mempunyai calon tertentu.

"Kami perlu melihat keadaan semasa (terlebih dahulu)," kata Nokman.

Difahamkan, Datuk Hamidin Mohd Amin masih menjadi calon tunggal selepas mendapat pencalonan daripada 18 ahli gabungan yang sudah mengesahkan pencalonan mereka.

Nama Hamidin dicadangkan oleh bekas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang meletak jawatan selepas genap setahun menerajui badan induk itu pada 25 Mac lalu.

Sumber >> www.stadiumastro.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==