Penjaga gol muda Kelantan, Mohammad Fikri Che Soh, memohon maaf susulan kekalahan pasukannya kepada PKNP FC dalam saingan Liga Super di Kota Bharu, Jumaat lalu.
Katanya, permohonan maaf itu dilakukan setelah dia melepaskan gol mudah ketika The Red Warriors (TRW) kalah 1-2 kepada skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu dan menyebabkan Kelantan kehilangan mata yang cukup berharga di gelanggang sendiri.
“Kegagalan berkomunikasi dengan pertahanan import, Cassio (de Jesus) menyebabkan PKNP memperoleh gol kedua itu. Saya jangka pemain import PKNP itu (Franklin Anzite) berlari dan bola dalam posisi ofsaid.
“Tapi, tak sangka pula Cassio memberhentikan langkah dan saya nampak Muhammad Shahrel Fikri (Md Fauzi) datang dari belakang. Akibat teragak-agak, dia mudah menolak bola masuk ke gawang,” katanya.
Sebelum jaringan mudah itu, Kelantan sudah ketinggalan 0-1 pada minit ke-61 melalui jaringan Mohamad Hafiz Ramdan tetapi Mohammad Imran Samso berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan lencong menarik, 13 minit kemudian.
Pemain berusia 20 tahun itu mengakui walaupun mendapat kritikan daripada penyokong, namun dia tidak patah semangat, sebaliknya menjadikannya satu pengajaran.
“Saya terima kesilapan ini dan akan perbaiki kelemahan untuk perlawanan akan datang. Saya akui masih kurang pengalaman beraksi di peringkat kompetitif dalam Liga Super.
“Terima kasih kepada dua penjaga gol senior, Mohd Shahrizan (Ismail) dan Apek (Khairul Fahmi Che Mat) yang banyak memberi tunjuk ajar dan sokongan sebelum ini,” katanya.
Sumber >> www.stadiumastro.com