Desas-desus mengatakan dua pemain import Sabah dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon dan Heo Jaenyong, bakal meninggalkan pasukan itu semakin hampir menjadi kenyataan.
Ia berikutan kehadiran beberapa pemain import yang kini 'berkampung' di Kota Kinabalu untuk memikat pengendali pasukan berkenaan, Jelius Ating.
Empat pemain import telah mula menjalani sesi pemilihan yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi, manakala dua lagi yang baru tiba semalam dijangka akan menyusul hari ini.
Empat pemain import itu ialah Carlos Calvo Sobrado dari Sepanyol, Ko Jae Sung (Korea), Keisuke Ogawa (Jepun) dan Faysal Sayesteh (Afghanistan) manakala dua yang baru tiba semalam ialah Kim Jeewong (Korea) dan Williams Aryn Glens (Australia).
Daripada empat pemain import yang Sabah miliki ketika ini, Gil Hoon dan Jaenyong adalah calon utama yang bakal ditunjukkan jalan keluar berikutan kontrak mereka hanya berbaki dua hari lagi dan sehingga kini, pihak pengurusan pasukan masih belum membuat sebarang keputusan untuk menyambung kontrak mereka.
Dua lagi pemain import, Francis Kasonde dan Hector Omar Ramos, pula dijangka kekal bersama Sang Badak kerana kontrak mereka hanya akan tamat pada penghujung musim ini.
Terdahulu, Jelius berkata dia berharap akan dapat menemui pemain import yang dapat memantapkan lagi skuad kendaliannya.
"Kalau ada pemain yang lebih baik daripada mereka (Gil Hoon dan Jaenyong), tiada salahnya kami mengambil pemain itu, namun jika sekiranya tiada, kami mungkin mengekalkan mereka.
"Apapun, saya harap kami akan menemui pemain import yang lebih baik, yang mampu menguatkan lagi pasukan," katanya.
Sumber >> www.stadiumastro.com