Liga Europa: Griezmann julang Atletico Madrid


MARSEILLE 0 ATLETICO MADRID

Selepas memenangi trofi kedua sebagai pemain Atletico Madrid dalam perlawanan akhir Liga Europa, Antoine Griezmann dahagakan lebih banyak trofi.

Pemain antarabangsa Perancis itu yang semakin kerap dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona, ​​menjaringkan dua gol serta  memainkan peranan dalam jaringan Gabi pada minit ke-89 ketika Atletico menumbangkan Marseille 3-0 di Lyon, awal pagi tadi.

Supercopa de Espana merupakan satu-satunya gelaran yang pernah dijulang penggempur berusia 27 tahun berkenaan sejak tiba dari Real Sociedad, justeru dia menaruh impian untuk meraih lebih banyak kejuaraan.

"Saya meninggalkan kampung halaman pada usia 14 tahun kerana saya mahu memenangi gelaran. Ini adalah yang kedua selepas Supercopa de Espana dan diharapkan akan ada lebih banyak lagi," kata Griezmann kepada beIN SPORTS.

"Marseille adalah pasukan yang gemar menyerang, mereka bekerja sangat keras. Kami pula melakukan hal kami, bertahan dengan baik, berhempas pulas dan kami mengambil kesempatan daripada kesilapan lawan."

Barca dilaporkan berminat untuk mengaktifkan klausa pelepasan bernilai €100 juta (RM468.5j) dalam kontrak Griezmann tetapi pengurus besar Atleti, Clemente Villaverde, menegaskan bahawa Rojiblancos sangat terdesak untuk mengekalkannya.

"Antoine sedang melakukan perkara yang hebat, dia membuktikannya (awal pagi tadi)," kata Villaverde.

"Dia mempunyai kontrak dan kami mahu dia kekal, kami akan berusaha."

Griezmann, yang dinobatkan pemain terbaik perlawanan, bagaimanapun enggan mengulas mengenai prospek masa depannya dengan berkata: "Ini bukan masanya untuk bercakap mengenai hala tuju saya.

"Anda perlu menikmati kejayaan memenangi gelaran dan meraikannya di samping peminat."

Sumber >> www.stadiumastro.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==