PDRM hampiri slot Liga Super


Kejayaan PDRM melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana disifatkan bukan sekadar tuah, sebaliknya dibuktikan dengan rentak permainan yang kemas, kata pembantu jurulatih The Cops, Mohd Fauzi Pilus.

Ditemui selepas menang 2-1 ke atas Terengganu FC (TFC) II di Kuala Terengganu, semalam, Fauzi berkata skuad PDRM sentiasa berada dalam motivasi terbaik selain berjuang habis-habisan sehingga minit-minit terakhir perlawanan.

Keputusan 2-1 tidak menggambarkan aksi sengit, sebaliknya PDRM lebih mendominasi 90 minit permainan dengan jaringan Shunsuke Nakatake (m-74) yang disamakan Akanni Sunday Wasiu pada minit ke-85 sebelum Sim Woonsub muncul wira PDRM menerusi gol kemenangan dalam rmasa kecederaan.

"Pemain-pemain berjaya menguasai permainan sejak minit pertama, cuma gagal memanfaatkan beberapa peluang terbuka.

"Corak lebih kemas ditampilkan dalam babak kedua dan walaupun ketika kedudukan 1-1, kami menunjukkan kesungguhan memburu gol kemenangan," kata Fauzi.

Kelibat tonggak import kelahiran Korea Selatan, Woonsub, jelas menjadi duri dalam daging buat TFC II melalui gerakan-gerakan berbahaya selain Petrisor Voinea yang begitu lincah di sebelah sayap kiri.

Walaupun tindakan penyudah masih belum berkesan, Fauzi menyifatkan pasukannya tiada keperluan untuk mendapatkan pemain baru kerana masih meletak kepercayaan dengan barisan pemain sedia ada.

"Woonsub dan Voinea merupakan pemain tonggak pasukan ini. Sebenarnya mereka boleh beraksi lebih baik.

"Saya gembira dengan prestasi mereka dan tiada perancangan untuk menukar awang import buat masa ini," tambahnya lagi.

PDRM kini di kedudukan ketiga Liga Perdana, berkongsi 18 mata dengan Felcra FC di tangga kedua yang berkelebihan satu perlawanan.

Sumber >> www.stadiumastro.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==