Nasib Dong-hyun jadi tanda tanya


Teka-teki masa depan pemain import Korea Selatan, Do Dong-hyun, bersama Kelantan masih berterusan apabila tidak diturunkan dalam aksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin.

Malah, ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Fajer Ibrahim, enggan menjawab pertanyaan media mengenai ketiadaan bekas pemain UiTM FC itu, sebaliknya memilih memberi pujian kepada pemain muda yang diturunkan.

"Saya tak mahu bercakap tentang pemain import (Dong-hyun) tetapi saya ingin beritahu anda ramai pemain tempatan yang baik boleh diletakkan di bangku simpanan.

"Anda lihat pasukan ini sekarang. Bermain lebih baik dan pantas. Semua orang akan tertarik dengan skuad masa depan pasukan ini," katanya.

Biarpun Fajer mengakui pengalaman menjadi pemisah di antara skuadnya dan JDT, beliau masih meneruskan polisinya untuk menggunakan tenaga muda.

"Kita perlu menyokong mereka (pemain muda) dan anda boleh saksikan satu perlawanan yang sengit. Kami tewas tapi tidak bermakna Kelantan tidak boleh diselamatkan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, mengesahkan telah mengadakan perjumpaan dengan Dong-hyun, semalam.

"Saya telah bertemu dengan Dong-hyun semalam dan pagi ini Fajer (ketua jurulatih) dipanggil untuk sesi perbincangan.

"Saya akan menunggu laporan bertulis daripada ketua jurulatih sebelum mengambil sebarang keputusan," katanya.

Untuk rekod, dalam aksi menentang JDT, Fajer hanya menurunkan kapten, Mohammed Ghaddar, dan pertahanan, Cassio de Jesus, tetapi menyisihkan Dong-hyun.

Bekas pemain Kelab East Bengal dalam Liga India itu didapati berada di tempat duduk penyokong dalam perlawanan yang dimenangi JDT 2-1 bagi membolehkan Harimau Selatan kekal di persada Liga Super.

Sumber >> www.stadiumastro.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==