Kuala Lumpur buru penjaga gol berwibawa


Pengurus skuad Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Hassan, mengakui pasukannya berhasrat untuk melamar penjaga gol Kelantan, Ramadhan Abdul Hamid, bagi memperkuatkan benteng akhir The City Boys serta anak kepada legenda bola sepak negara, Wong Kam Fook, iaitu Wong Tse Yang.

Skuad Warga Kota mencatatkan rekod bolos paling banyak selepas 10 perlawanan Liga Super 2018 dengan 22 jaringan dan faktor yang mendorong kepada persembahan buruk itu adalah aksi goyah barisan penjaga gol seperti Kamarul Effandi Abdul Rahim, Solehin Mamat dan Khatul Anuar Jalil.

Justeru, mereka kini dalam pencarian seorang penjaga gol berkaliber bagi memperkukuhkan benteng akhir setelah Kamarul Effandi dilanda kecederaan.

"Kami memiliki barisan penjaga gol yang masih muda, jadi ia juga menjadi aset buat Kuala Lumpur untuk jangka panjang.

"Tetapi untuk aksi akan datang, saya mengharapkan jurulatih akan dapat melakukan penilaian dan pemilihan yang terbaik untuk menentukan siapa penjaga gol utama pasukan," kata Kamaruddin.

Beraksi dalam Liga Hong Kong sebelum ini, kelibat Tse Yang mencuri tumpuan kerana reputasinya sebagai anak bekas penjaga gol skuad Olimpik 1972, Kam Fook.

Bagaimanapun, selain Ramadhan dan Tse Yang, skuad kendalian Fabio Maciel itu turut menjadikan penjaga gol Melaka, Mohd Fazli Paat, sebagai satu lagi pilihan untuk diuji.

"Saya berharap tiada lagi kesilapan mudah dilakukan oleh penjaga gol kerana sebelum ini kekalahan kami berpunca daripada kesilapan kecil," tambahnya.

Sumber >> www.stadiumastro.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==