JDT 2 SELANGOR 0
Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali menguasai Liga Super dengan kelebihan empat mata apabila mengatasi Selangor 2-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam ini.
Cuaca ternyata baik di Larkin pada malam ini setelah penangguhan perlawanan ini semalam akibat padang bertakung gara-gara hujan lebat sejak petang.
JDT, bagaimanapun, terpaksa menunggu sehingga sejam untuk meledak gol pertama. Gonzalo Cabrera lincah menyusup dari sebelah kiri sebelum lorongannya menemui Ahmad Hazwan Bakri untuk menyudahkannya.
Tuan rumah terus meningkatkan serangan dengan percubaan pemain tengah, Natxo Insa, yang bagaimanapun terkena tiang gol sebelah kiri Gergasi Merah yang dikawal Khairul Azhan Khalid.
Berselang tiga minit, Nazmi Faiz Mansor menceriakan penyokong JDT apabila menyudahkan peluang dari jarak dekat untuk gol kedua permainan dalam gerakan hampir serupa tetapi kali ini dijana oleh Safawi Rasid.
Di Stadium KLFA, Cheras, Kuala Lumpur memastikan mata penuh apabila menafikan kebangkitan PKNS FC dalam kemenangan 2-1.
Kuala Lumpur hanya memerlukan sembilan minit untuk berada di hadapan melalui rembatan Paulo Josue.
Percaturan rombakan PKNS dengan mengeluarkan Jonathan Acosta lalu memasukkan Safee Sali membuahkan hasil apabila penggempur itu bijak melorongkan bola untuk disudahkan Faris Ramli dari jarak dekat.
Begitupun, kedudukan itu hanya bertahan seminit apabila kelekaan barisan Semut Merah membawa kepada gol kemenangan skuad bimbingan Fabio Maciel itu yang disumbangkan Guilherme De Paula sebelum menuju ke bilik persalinan.
Di Stadium Hang Jebat, Melaka United gagal keluar daripada rentetan empat kekalahan berikutan tumbang 1-2 kepada Perak.
Gol Yahor Zubovich pada minit ke-79 sudah terlewat untuk Melaka memadamkan kelebihan Perak yang terlebih dahulu mencipta jaringan pada minit ke-45 dan 59, masing-masing menerusi Wander Luiz dan Gilmar Da Silva.
Di Stadium Negeri, Batu Kawan, gol-gol Hafiz Ramdan (m-26) dan Ritus Krjauklis (m-30) menceriakan PKNP FC untuk mengirim Kelantan pulang dengan kemarau kemenangan sejak diambil alih oleh jurulatih barunya, Fajer Ibrahim, dari Syria.
Keputusan hari ini:
JDT 2 SELANGOR 0
K LUMPUR 2 PKNS FC 1
MELAKA UTD 1 PERAK 2
PKNP 2 KELANTAN 0
Sumber >> www.stadiumastro.com