Patrick Cruz julang Tok Gajah


TFC 1 PAHANG 3

Dua jaringan penyerang import, Patrick Cruz dos Santos, membantu Pahang menumpaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Awal permainan menyaksikan Tok Gajah mencemaskan kem tuan rumah dengan gerakan Muhamad Nor Azam Azih di sebelah kanan tetapi sepakannya mengenai jaring tepi pada minit keempat.

TFC memperoleh percubaan pertama ke arah pintu gol lawan menerusi tandukan Akanni Sunday Wasiu hasil sepakan percuma Lee Andrew Tuck yang ditepis Helmi Eliza Elias.

Penyokong Sang Penyu hampir bersorak gembira pada minit ke-19, namun voli menarik Bruno Junichi Suzuki dari luar kotak penalti sekali lagi digagalkan Helmi Eliza.

Helmi Eliza terus cemerlang menafikan percubaan jarak jauh Lee Tuck pada minit ke-29 sebelum tandukan Bruno Suzuki tinggi melepasi pintu gol Pahang seminit selepas itu.

Kelekaan benteng TFC kemudian dihukum Pahang yang membuka jaringan pada minit ke-38 yang bermula daripada gerakan Mohamadou Sumareh dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang membuat umpanan untuk disempurnakan Cruz.

Kedua-dua pasukan berbalas serangan menuju penghujung separuh masa dengan pemain sayap tuan rumah, J. Partiban, mensia-siakan peluang terhidang manakala sepakan percuma Salamon Raj menggegar palang gol TFC.

Pahang memulakan babak kedua sepertimana mereka menamatkan separuh masa melalui dua percubaan berturut-turut pada minit ke-47 oleh Cruz dan Sumareh yang sedikit tinggi melepasi pintu gol TFC.

Skuad tuan rumah kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu bagaikan tiada jawapan dengan dominasi Tok Gajah apabila dibolosi buat kali kedua pada minit ke-53 selepas Cruz menyudahkan hantaran Chan Vathanaka.

Jaringan penalti Lee Tuck pada minit ke-72 gagal mencetuskan kebangkitan TFC, sebaliknya Pahang menjaringkan gol ketiga melalui pemain gantian, Mohd Faisal Abdul Halim, pada masa kecederaan.

Kemenangan 3-1 itu membolehkan Pahang kini mengutip 17 mata, hanya satu mata di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT), yang akan beraksi dalam perlawanan tertangguh dengan Selangor esok.

Keputusan lain:

KEDAH 3 NEGERI SEMBILAN 3

Sumber >> www.stadiumastro.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==